Photo: Bernama |
NAJIB DIJATUHI HUKUMAN PENJARA BERJUMLAH 72 TAHUN, DENDA RM210 JUTA
KUALA
LUMPUR, 28 Julai -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan
hukuman penjara berjumlah 72 tahun dan denda RM210 juta
terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas
mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan
wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta
dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun,
Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim
Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu
dilaksanakan serentak.
Ahli Parlimen Pekan itu
dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT
dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda
RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalahguna kedudukan.
Mohd Nazlan menjatuhkan
hukuman pada 6.30 petang, setelah mempertimbangkan rayuan
yang dikemukakan pihak pembelaan, permohonan pendakwaan untuk
hukuman berat dan kenyataan
ringkas tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.
"Saya turut mengambil
kira sumbangan tertuduh kepada negara," katanya.
Mahkamah bagaimanapun
membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman
itu sementara menunggu rayuan selesai, namun menaikkan jumlah
jaminan sebanyak RM1 juta lagi dan mengarahkan ia dikemukakan esok.
Sebelum ini, Najib diikat
jamin RM1 juta.
Mahkamah juga
memerintahkan bekas perdana menteri itu untuk melapor diri ke balai
polis dua kali sebulan.
Najib meninggalkan mahkamah
pada 7.34 malam, bersama peguamnya.
Sumber: Bernama
0 Comments