TATACARA SOLAT SUNAT KUSUUF (GERHANA MATAHARI) | Hari ini 26 Disember 2019 dijadualkan semua rakyat Malaysia akan bertemu dengan gerhana matahari [Baca: Fenomena Gerhana Matahari Anulus dan Separa di Malaysia]. Pada waktu ini umat Islam disunatkan untuk melakukan solat sunat gerhana. Marilah kita bersama-sama meneliti tataraca solat sunat gerhana ini.


Tatacara Solat Sunat Gerhana
Solat sunat gerhana itu dua rakaat. Dimulakan dengan niat, kemudian bertakbiratul ihram, kemudian membaca doa al-Istiftah dan kemudian berta’awwuz. Setiap rakaat mempunyai dua kali qiyam, dua kali bacaan, dua kali ruku’ dan dua kali sujud.
  • Disebutkan di sini bagaimana caranya Rasulullah SAW melakukan solat sunat gerhana matahari:


 Lafaz niat untuk gerhana matahari






“Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.
  1. Niat
  2. Bertakbiratul Ihram
  3. Berta’awwuz
  4. Membaca Surah Al-Fatihah
  5. Membaca surah yang panjang seperti Surah Al-Baqarah. Jika tidak, bacalah surah yang paling panjang dihafal.
  6. Melakukan ruku’ yang panjang.
  7. Setelah bangun dari ruku’ baca Al-Fatihah dan kemudian surah yang lebih pendek dari surah yang sebelumnya.
  8. Ruku’ buat kali kedua dan ruku’ ini juga panjang namun pendek sedikit dari ruku’ yang sebelumnya.
  9. Melakukan sujud yang panjang.
  10. Duduk antara dua sujud.
  11. Sujud dengan sujud yang panjang.
  12. Melakukan rakaat kedua seperti mana rakaat pertama dan diakhiri dengan salam.

  • Waktu solat sunat gerhana bermula ketika mana bermulanya gerhana itu sendiri dan berterusan sehingga matahari memancar penuh (tanpa dilindungi oleh bulan). Jika matahari telah nampak secara keseluruhannya, maka telah tamat waktu untuk melakukan solat sunat gerhana dan tidak perlu untuk solat dan tidak juga perlu diqada’kan. Ini diriwayatkan di dalam Sahih Muslim daripada Jabir bin Abdullah RA:
فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَصَلُّوا حَتَّى تَنْجَلِيَ
Maksudnya: Jika kalian melihat sesuatu dari itu (gerhana) maka solatlah sehingga bercahaya kembali.
Riwayat Muslim (904)

  • Disunatkan imam untuk memperlahankan bacaan ketika solat sunat gerhana matahari berdasarkan hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلاً نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ
Maksudnya: “Maka berdirinya (Baginda) dengan qiyam yang panjang, panjangnya seperti seakan membaca Surah al-Baqarah…”
Riwayat al-Bukhari (1052)
Hadith di atas menunjukkan kepada kita bahawa Ibn ‘Abbas R.Anhuma tidak mendengar apa yang dibacakan oleh Baginda SAW dan membuat anggapan bahawa panjangnya seumpama membaca Surah al-Baqarah. Jika Ibn ‘Abbas R.Anhuma mendengarnya, pasti beliau akan menyebutnya. Hadith lain daripada Sumrah bin Jundub RA menyebutkan:
صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فِي كُسُوفٍ لاَ نَسْمَعُ لَهُ صَوْتًا
Maksudnya: Telah solat bersama kami Nabi SAW ketika solat gerhana. Kami tidak mendengar suara Baginda.
            Riwayat Al-Tirmizi (562)

Ini kerana solat gerhana matahari dilakukan ketika siang dan tidak dikuatkan bacaan ketika melakukan solat di waktu siang. Telah berkata al-Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Dan kedua-dua hadith yang sahih ini dikumpulkan di antara keduanya dan dengannya diperlahankan (sirr) bacaan ketika solat sunat gerhana matahari dan dikuatkan (jahr) bacaan bagi solat sunat gerhana bulan dan inilah mazhab kami.” (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/52-53)

  • Disunatkan juga untuk khatib membcakan khutbah setelah tamat solat dengan memberikan kata nasihat, amaran dan ancaman terhadap azab Allah SWT serta menyeru dan mengajak makmum untuk memperbanyakkan amal soleh, berdoa dan beristighfar.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan