Coretan Mufti Wilayah Persekutuan Buat Adik Nadzrul Zarfan bin Sharul Azry | Tular sekeping surat dari seorang kanak-kanak yang dihantar kepada imam dan jawatankuasa surau berkenaan pengasingan saf kanak-kanak dengan orang dewasa.

Sementelah itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri telah mencoret sebuah nukilan buat Adik Nadzrul Zarfan bin Sharul Azry bin Kasim bin Mat sebagai ucapan tahniah kerana keberaniannya menghantar surat itu. 

Jom ikuti apakah yang Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri nukilkan...


Assalamualaikum wbt.

Ke hadapan anakanda Nadzrul Zarfan bin Sharul Azry bin Kasim bin Mat

Pakcik ada membaca surat anakanda yang ditularkan di media sosial. Ada yang tag pakcik di Twitter dan tanya berhubung kedudukan saf kanak-kanak dalam masjid/surau. Sebenarnya selaku Mufti Wilayah Persekutuan, pakcik dah ulas isu ini lama dahulu, tahun 2016 dalam Bayan Linnas bertajuk Masjid dan Kanak-Kanak. 

Anakanda boleh klik di sini http://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1154-bayan-linnas-siri-63-masjid-kanak-kanak untuk membaca.

Ringkasnya, di dalam Sahih al-Bukhari, no. 380 terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Al-Imam al-Mawardi rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir: “dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340).

Begitu juga kata al-Khatib al-Syarbini: “Kedudukan sebagaimana yang disebutkan (kanak-kanak di belakang) ialah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama. Sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa. Ini sebagaimana jika mereka terlebih dahulu masuk ke saf pertama, maka sesungguhnya mereka lebih berhak, pada pendapat yang sahih. Ia sepertimana dinukilkan dalam Al-Kifayah daripada Al-Qadhi Husain dan selainnya. Beliau memperakukan hal tersebut. Ini kerana mereka (kanak-kanak) merupakan daripada jenis mereka (lelaki dewasa), tidak seperti khunsa dan wanita. Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492)

Maknanya anakanda, tak salah apa yang anakanda buat tu. Bagus duduk dengan orang-orang dewasa. Belajar cara solat dengan lebih sempurna. Tahniah pakcik ucapkan. Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama’ yang kata begitu.

Secara umumnya, di bawah ini adalah keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.

1. Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.

2. Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

3. Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/36-37).

Kepada pihak masjid dan ibu bapa, ini cadangan saya:

1. Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.

2. Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Saya syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.

3. Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak tersebut telah berada di saf pertama sejak awal, tidak perlu menghalau mereka ke belakang.

4. Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.

Tahniah sekali lagi pakcik ucapkan kepada anakanda Nadzrul. Pakcik doakan anakanda sentiasa menjaga solat lima waktu dan berusaha mendapatkan saf pertama setiap kali solat. Kalau jumpa pakcik di mana-mana nanti, kenalkan diri ya. Ada hadiah untuk Nadzrul.

Yang benar,

Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan


Tahniah juga diucapkan kepada adik Nadzrul Zarfan bin Sharul Azry yang berani tampil menegur imam dan jawatankuasa masjid secara menghantar surat. Diharap pihak masjid peka akan perkara ini.


Credit: Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan



Terima kasih kerana membaca. Anda dialu-alukan untuk tinggalkan komen dan kongsikan artikel ini untuk perkongsian ilmu. Jemput klik >>disini<< untuk follow Blog Bonda Chanteq.