GEORGE TOWN, 21 Dis -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Seri Paduka berdua diiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow serta isteri Tan Lean Kee.

Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang yang terletak di Jalan Batu Gantung, di sini dibina pada 2012 dan siap sepenuhnya pada 2016 dengan kos sebanyak RM32 juta.

Dalam ucapannya, Al-Sultan Abdullah bertitah agar usaha meningkatkan dan penyebaran syiar Islam diteruskan dengan sistem yang cukup lengkap supaya Islam dapat menjadi agama yang dipandang tinggi, dicontohi serta dapat bekerjasama erat dengan agama-agama yang lain.

Baginda juga berharap jawatan ketua-ketua hakim syarie dan hakim-hakim di Mahkamah Syariah dipertingkatkan mengikut kelayakan. 

Kalau kita memperluas status hakim Mahkamah Syariah ke tahap yang tinggi saya percaya ramai yang berkumpul-kumpul untuk mendapatkan jawatan tersebut.

"Tetapi kalau kita menghadkan jawatan-jawatan ini kepada tahap yang tidak begitu menarik, mungkin jawatan ini akan dianggap sebagai sambil lewa, jawatan yang tidak dapat menaikkan karier mereka sebagai seorang hakim," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam ucapannya turut berkongsi pengalaman bertemu dengan Archbishop of Canterbury, Justin Welby semasa lawatan khasnya ke United Kingdom baru-baru ini di mana pemimpin utama Gereja England itu melahirkan rasa bangga dengan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Antara yang kita bincang dan persetujui ialah supaya kita semua harus sentiasa dalam keadaan aman, sentiasa berharmoni dan tinggal dalam hormat menghormati kerana Malaysia sudah dilihat sebagai negara model di mana banyak agama dapat tinggal dalam keadaan cukup sempurna dan cukup harmoni," titah baginda.

Dalam pada itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah sangat menitik beratkan soal perkembangan syiar Islam termasuk daripada aspek perundangan syariah di negara ini.

Ahmad Fadil berkata, bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan mengenai perkara itu, sesi munaqasyah yang melibatkan semua Majlis Agama Islam diadakan di Istana Negara tiga bulan sekali iaitu setiap kali Majlis Raja-Raja bermesyuarat.


"Jadi semenjak memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Abdullah telah menghadiri tiga kali munaqasyah ini dan Mesyuarat Raja-Raja yang seterusnya akan dijangka diadakan pada Feb 2020 dan pada waktu itu munaqasah bersama majlis-majlis agama Islam negeri juga akan diadakan," katanya kepada Bernama hari ini.


Sementara itu, Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar yang turut hadir pada majlis itu berkata fungsi dan kuasa Mahkamah Syariah dapat diperkasa dengan pelaksanaan beberapa cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini.




Antaranya menambah satu lapisan dalam sistem Mahkamah Syariah yang pada masa ini hanya mempunyai tiga lapisan berbanding empat di mahkamah sivil iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Akademi latihan kehakiman syariah juga perlu diwujudkan untuk meningkatkan kecekapan pegawai kehakiman dan hakim syarie.

"Mahkamah Syariah juga perlu ditingkatkan dari segi bidangkuasa, hakim dan skim perkhidmatan kehakiman yang lebih menarik. Seperti penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Syariah. Gred hakim-hakim syarie juga terlalu rendah berbanding dengan hakim mahkamah sivil oleh itu perlu dinaikkan supaya setanding dengan hakim- Mahkamah Sivil," katanya.

Selain itu, beliau berkata kemudahan infrastruktur mahkamah yang lebih moden dengan menambah peruntukan pembangunan juga diperlukan untuk memastikan perundangan syariah terus ditingkatkan.







Sumber: BERNAMA