15 Permainan Tradisional Yang Semakin Dilupakan | 15 permainan Ini adalah antara puluhan permainan tradisional yang pernah Bonda bersama adik beradik dan rakan-rakan pernah lalui. Mengimbau kembali zaman kanak-kanak yang penuh dengan keseronokan dan kegembiraan terasa benar seperti kehilangan sesuatu. Ya, kehilangan zaman kanak-kanak yang penuh dengan kenangan.


Masa kami kecil-kecil dulu dibesarkan dalam kelompok masyarakat berbilang kaum yang setiap hari apabila tiba waktu petang, kami akan beramai-ramai pergi ke padang di taman perumahan tempat kami tinggal dan bermain permaina-permainan ini.

Kala itu, seandainya ada antara kita yang baru sahaja berpindah dan mahu mencari rakan, datang sahaja ke padang dan 'join' rakan-rakan yang lain bermain. Mudah bukan.

Berbeza dengan keadaan anak-anak zaman sekarang yang hanya bermain dengan gadjet bagi mengisi masa lapang. Jom kenali antara 15 permainan tradisional yang semakin dilupakan oleh kita semua. 



1. Musang & Anak Ayam


Permainan ini memang menyeramkan yang mana si pemangsa ‘musang’ akan memberi kunci kepada ibu ayam kemudian di diserahkan kepada anak-anak ayam yang lain.

Bila si musang tanya mana kunci yang lain akan jawab, “Entah tanya belakang” dan seterusnya musang pun cuba untuk menangkap anak ayam yang terlepas.
Pastinya tak cukup tanah berlari, seronoknya bila diingat kembali ada juga yang bermain datuk harimau menggunakan cara yang sama tetapi menggunakan pertanyaan ‘pukul berapa datuk harimau? sehingga kiraan 10 dan seterusnya mengejar lalu menerkam mangsa.






2. Baling Tin


Tin disusun mengikut urutan 5,4,3,2, dan yang paling atas 1. 2 kumpulan yang bermain tin yang disusun hendaklah dibaling dengan mengunakan selipar untuk diruntuhkan, setelah tin diruntuhkan pihak lawan perlu membaling selipar untuk menghalang pihak lawan dari menyusun semula tin. Jika tin Berjaya di susun permainan adalah dikira menang.





3. Congkak


Congkak adalah satu permainan yang memerlukan pemain mengisi ‘buah’ ke dalam deretan lubang yang diperbuat pada sekeping papan yang dinamakan papan congkak. Tujuan permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain mendapatkan seberapa banyak buah dari yang dimiliki oleh pihak lawan. Ia dimainkan oleh kaum lelaki dan juga kaum perempuan yang mana bilangan pemainnya hanyalah dua orang sahaja.





4. Batu Seremban


Permainan ini adalah satu permainan yang mana batu-batu kecil dilambung dan kemudiannya disambut kembali. Permainan ini melibatkan sekurang-kurangnya 2 orang pemain dan biasanya dimainkan oleh golongan perampuan.

Alat yang digunakan dalam permainan ini ialah 5 biji batu dan biasanya ia dimainkan di dalam rumah.






5. Baling Selipar


Tiga selipar diperlukan untuk permainan ini selipar disusun menegak dan dibaling untuk menjatuhkan. Permainan ini amat mudah kerana alatan yang diperlukan hanyalah selipar yang selalunya dipakai. 






6. Lat Talilat Laili Tam Plong


Lai lai li tam plong atau lat tali lat tali tamplom merupakan satu kaedah pengundian yang dilakukan oleh kanak-kanak bagi menentukan giliran dalam sesuatu permainan.
Ia dilakukan secara berkumpulan dengan mengucapkan "Lai lai li tam plong" sebelum menunjukkan telapak atau belakang tangan.
Selain menggunakan kaedah Lai lai li tam plong, undian bagi menentukan giliran juga dilakukan melalui kaedah wan tu som.



7. Teng Teng

Permainan ini gelanggang dibuat dengan menuliskan garisan di atas tanah sahaja dengan menggunakan hujung ranting. Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. 

Lai lai li tam plong ialah kaedah bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Pemain dikehendaki melompat ke dalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak kedua dan petak sembilan yang perlu dilompat dengan kedua-dua belah kaki. 

Pemain hendaklah melompat ke dalam semua petak dengan menggunakan sebelah kaki, kecuali di petak kedua dan kesembilan dengan dua belah kaki. Setiap pemain tidak boleh memijak petak yang mempunyai gundu yang telah dicampak.




8. Lompat Getah


Main lompat getah. Dulu-dulu masa rehat disekolah mesti main lompat getah. Boleh kata champion jugaklah sampai boleh lompat getah di atas kepala.





9. Galah Panjang

Permainan galah panjang adalah sejenis permainan yang melintasi garisan-garisan berhalang. Tujuan permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain berlari melepasi halangan. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan dan bilangannya seramai sepuluh orang. Ianya juga dimainkan di kawasan tanah rata dan lapang dan permainan ini tidak memerlukan sebarang alatan.






10. Konda Kondi


Permainan ini boleh dimainkan sekurang-kurangnya 2 orang. Permainan ini menggunakan dua batang kayu sepanjang 0.5 meter. Sebuah lubang dikorek di atas tanah sedalam 0.2 meter dan lebar 0.2 meter juga. Kayu diletak di tengah lubang secara melintang. Sebatang kayu digunakan untuk menguit dan mengungkit kayu agar terpelanting jauh dari pemain lawan.





11. Masak-masak


Siapa yang lahir zaman tahun 70an pasti merasa bermain masak-masak terutama kanak-kanak perempuan. Paling berani nyalakan api dan masak daun-daun seperti masak didapur. Siap susun batu buat tungku. 






12. Meriam Tanah


Masa kecil dulu bila nak raya, ayah Bonda akan buatkan meriam tanah. Haaa meriam tanah ni jarang sangatlah dimainkan kerana bahaya. Ayah Bonda akan korek tanah kemudian tutup dengan papan. Dalamnya diletakkan karbait. bila letak api akan meletoplah macam bunyi meriam tu. Memang heaven.






13. Lastik getah


Main lastik getah. Biasanya permainan ni dimainkan oleh kanak-kanak lelaki. 





14. Guli


Permainan guli ialah sejenis permainan menuju atau melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga dua belas tahun. Permainan ini dimainkan tidak lebih dari lima orang. Dan dimainkan dikawasan yang lapang dan rata. Alatan yang diperlukan didalam permainan ini ialah beberapa biji guli.




15. Gasing


Gasing adalah satu permianan tradisional yang bertujuan menguji kepintaran pemain memusingkan gasing supaya gasing dapat berpusing dalam jangka masa yang panjang. Permainan ini dimainkan oleh lelaki dewasa dan kanak-kanak yang berumur Sembilan tahun ke atas.

Jumlah pemain bagi permianan ini adalah 2 orang atau lebih dan dimainkan di kawasan yang lapang dan rata. Alat yang diperlukan untuk permainan ini ialah gasing timah, tali gasing, lopak, bong, bulu ayam, getah kecupu, bilah, dan sedikit minyak pelincin.





Jika kita tidak mengajar anak-anak generasi akan datang pasti tidak tahu akan permainan tradisional yang pernah ibu bapanya mainkan semasa kecil dahulu. 

Anak-anak zaman sekarang tidak ramai yang mengetahui tentang permainan ini. Mungkin kerana peredaran zaman dan perubahan corak pemikiran menjadikan permainan tradisional ini lapok ditelan zaman.