Dosa Pahala Suami, Isteri Dan Madu - Poligami Bukan Jalan Ke Neraka| Poligami, satu perkataan yang dianggap satu malapetaka bagai kebanyakkan wanita. Tanyalah siapapun wanita samada bergelar isteri, atau belum. Poligami bukanlah satu kehidupan yang didambakan oleh seorang wanita. Samada isteri terdahulu yang akan menderita dek kerana tamakknya isteri baru, atau isteri kedua yang melalui segala keperitan dek kerana jahilnya isteri nan satu lagi menolak takdir dan menganggapkan suami itu hak miliknya seorang. Namun, siapakah yang boleh menolak takdir yang telah ditentukan. 

Poligami, seharusnya ianya adalah jalan ke Syurga Allah, tetapi apabila ianya gagal ditempuhi dengan sabar dan redha, samalah juga seperti menempah ke neraka Allah. Nauzubilahiminzalik!

Bonda telah terbaca sebuah artikel yang telah disiarkan pada 2 Oktober 2005 didalam kolum Bicara Agama Utusan Online. Topik ini menarik minat Bonda untuk dikongsikan dengan pembaca semua agar sama-sama menjadikan ianya satu panduan dan sempadan kehidupan. Semoga ianya menjadi iktibar dan pedoman untuk kita semua. 

Seorang wanita dikenali sebagai Azura telah menginsafi dirinya yang dirasakan berdosa setelah pulang dari umrah. Mengajukan pertanyaan kepada Dr Amran Kasimin seorang ustaz diruangan berkenaan tentang perbuatannya terhadap suami dan madunya.


Menurut beliau suaminya berkahwin lain tanpa pengetahuan beliau. Hanya selepas dua tahun, beliau mendapat tahu. Beliau sama sekali tidak rela dimadukan. Selama ini beliau menumpahkan seluruh kasih sayang dan pengorbanan untuk suaminya dan keluarga tetapi dikhianati. Oleh itu, beliau senantiasa mengawasi suaminya dan tidak membenarkan suaminya ke rumah isteri muda dan  suaminya tidak pernah tidur di rumah isteri muda.


Beliau juga mendakwa pernah menemui bomoh untuk mengatasi masalah rumahtangganya dan hasilnya, suaminya takut dengan beliau. Soalan beliau kepada ustaz "adakah suaminya berdosa kerana tidak tidur di rumah isteri mudanya?




Gambar: Goolge




Beberapa jawapan diberikan oleh Dr. Amran Kasimin bagi meleraikan persoalan yang membelenggu kehidupan Azura.



Jawapan dan huraian


Allah s.w.t menyuruh agar seorang lelaki itu berkahwin dengan perempuan yang baik-baik, dua, tiga atau empat orang isteri. Sekiranya seorang lelaki itu takut atau bimbang tidak berupaya bersikap adil, Allah menyuruh agar mengahwini seorang perempuan sahaja.

Maksud adil di sini iaitu kepada lelaki yang diharuskan berkahwin itu adalah adil menyediakan nafkah, penyediaan makan minum isteri atau isteri-isteri yang dikahwini, anak-anak yang bakal dilahirkan, menyediakan pakaian, tempat tinggal, termasuk giliran bertemu, pergi ke rumah isteri-isteri yang dikahwini.

Disyaratkan sedemikian rupa kerana keadilan zahiriah itu adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh manusia biasa. Namun keadilan yang berkaitan dengan kasih sayang, cinta dan seumpamanya adalah di luar keupayaan manusia untuk berlaku adil ataupun saksama.

Jelasnya Islam mengharuskan seorang lelaki itu berkahwin lebih daripada seorang perempuan yang diistilahkan sebagai poligami. Keharusan yang diberi oleh syariat adalah keharusan bersyarat, iaitu adil seperti yang dijelaskan.
Biarpun kebanyakan orang, iaitu orang Islam memahami juga menyedari keharusan tersebut, tetapi kebanyakan isteri tidak rela dimadu atau lebih jelas tidak rela suaminya berkahwin lagi kerana:

  • Ia adalah tabiat semula jadi manusia.
  • Sebahagian daripadanya tidak faham atau tidak menghayati bahawa keharusan bagi lelaki berkahwin lebih daripada satu itu adalah ketentuan Allah.
  • Kebanyakan lelaki atau suami tidak berupaya menunaikan tanggungjawab terhadap isteri-isteri yang telah dinikahi, terutamanya yang berkaitan dengan giliran, pemberian nafkah, tempat kediaman, persekolahan anak-anak dan sebagainya. Hal demikian terlalu membimbangkan para isteri yang dimadukan atau bakal dimadukan.
Isteri-isteri teraniaya

Mereka tidak takutkan balasan Allah. Mereka telah melakukan sesuatu yang diharuskan, tetapi melanggar syarat-syarat yang ditetapkan terhadap keharusan tersebut.

Keharusan ini adalah keharusan bersyarat. Kerana itu apabila syarat tersebut tidak dipenuhi, maka keharusan tersebut tidak ada padanya. Kerana itu, lelaki atau suami yang bertindak sedemikian, telah melakukan dosa. Atas pengalaman yang banyak berlaku dalam masyarakat seperti inilah maka kaum wanita terlalu takut untuk dimadukan.

Poligami adalah keharusan yang ditetapkan oleh Allah kerana tidak adanya jalan keluar, selain daripada berpoligami atau berkahwin lagi. Seorang isteri contohnya, yang tua, uzur atau sakit yang tidak berupaya melayani kehendak batin suaminya, adalah wajar baginya merelakan suaminya yang masih mempunyai nafsu dan mempunyai sifat adil untuk berkahwin lagi.

Tidak kira di mana perkahwinan itu dilakukan, dengan izin isteri atau tidak, atau hanya diizinkan oleh Mahkamah Syariah, apabila dia cukup syarat-syaratnya maka sahlah pernikahan tersebut. Dengan demikian, isteri yang baru dinikahi itu adalah menjadi isteri kepada lelaki yang telah sedia mempunyai isteri, seorang, dua orang atau tiga orang.

Dalam keadaan seperti ini, perempuan yang baru dinikahi itu adalah isteri yang sah. Sebagai isteri, dia mempunyai hak di sisi undang-undang, hak nafkah, perlindungan kediaman, pakaian dan sebagainya termasuk gilirannya.

Dalam situasi seperti ini, kedudukan isteri-isteri adalah sama, tidak kira sama ada dia isteri tua atau muda, isteri ketiga atau keempat. Dan apabila hak tersebut tidak dapat dinikmati oleh mana-mana pihak akibat daripada pihak yang satu lagi atau lebih jelas diperkatakan bahawa isteri muda itu tidak mendapat gilirannya kerana beliau sentiasa mengawasi pergerakan si suami, hakikatnya telah melakukan kezaliman, menyekat hak yang sewajarnya dimiliki oleh madu beliau.

Masalah yang timbul akibat ketidakadilan suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu tadi, terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan nafkah. Lelaki yang tidak bertanggungjawab ini akan mengambil kesempatan dengan bertindak sewenang-wenangnya tanpa ada hukuman yang jelas, lepas daripada tanggungjawab dan sebagainya menyebabkan pelbagai masalah dihadapi oleh isteri-isteri yang teraniaya. 



Jangan jadi insan muflis di akhirat kelak

Rasulullah pernah bertanya kepada sahabat-sahabat tentang orang yang dianggap bankrap. Di antara sahabat menjawab menyatakan orang yang bankrap itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta.
Baginda menjelaskan pendapat itu tidak tepat. Orang yang bankrap itu ialah mereka yang pada hari kiamat kelak dibangkitkan oleh Allah berhimpun di padang mahsyar.
Bersama mereka ialah pahala hasil daripada ibadah sembahyang, pahala zakat, pahala puasa dan sebagainya. Ketika diadakan timbang tara atau hisab akan datang mereka yang menuntut, iaitu mereka yang dizalimi ketika hidup di dunia.
Akan datang menuntut di hadapan Allah mereka yang kena maki cela, yang kena bunuh, kena umpat dan sebagainya. Allah akan menyempurnakan segala tuntutan mereka dengan mengambil pahala kebajikan yang dilakukan di dunia kepada mereka yang menuntut. Tuntutan ini adalah umum. Allah Maha Adil lagi Maha Mengetahui.



Jangan berlaku zalim kepada insan lain

Mengenai kes ini, sekiranya madu beliau tidak puas hati atau tidak reda terhadap tindak-tanduk beliau di dunia, dia akan menuntut haknya, iaitu hak giliran suami yang ditahan tahan dan sentiasa di intai-intai. Lalu sebahagian daripada pahala itu diberikan kepada madu yang zalimi tadi.
Sekiranya kezaliman yang dilakukan oleh seseorang itu banyak, maka banyaklah mereka yang menuntut. Apabila pahala milik orang yang kena tuntut itu habis, padahal tuntutan masih berlaku akibat kezaliman yang dilakukan banyak, maka Allah akan mengambil dosa orang yang menuntut tadi dan dipertanggungjawabkan ke atas orang yang kena tuntut lalu akhirnya orang ini dimasukkan ke dalam neraka jahanam.
Inilah sebenar-benar orang yang bankrap, padahal ketika mula berada di padang mahsyar, dia mempunyai pahala, lalu akhirnya dia dicampakkan ke dalam neraka.



Amalan berjumpa Bomoh adalah syirik

Menemui bomoh atau melibatkan ilmu penunduk seperti yang dilakukan, menjadikan suami takut atau tunduk kepada isterinya ini menyebabkan rumah tangga akan menjadi kelam-kabut seumpama tidak terkawal.
Suami berdosa kerana zalim kepada isteri mudanya. Beliau juga berdosa kerana menjadi punca utama suami melakukan dosa. Perbuatan menundukkan suami, menyebabkan suami takut itu diistilahkan sebagai "tiwalah".
Amalan tiwalah menyebabkan syirik. Demikian keterangan hadis yang perlu difahami untuk dijadikan pedoman mereka yang terlibat dengan amalan seperti ini.


Ambil iktibar dari perkongsian ini.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari perkongsian ini agar sesiapa jua yang berada didalam situasi ini mendapat rahmat Allah dan tidak berlaku zalim kepada insan lain. Sesungguhnya, mereka juga punya hak yang sama seperti yang lain. Hiduplah dengan rukun dan aman agar lancar dan tenang kehidupan. Usahlah kita bersangka buruk kepada orang lain, walhal ianya adalah ketentuan yang telah Allah tentukan. Bebaliklah kepada Qadak dan Qadar Allah. Jangalah kita cuba menjadi tuhan yang hendak menentukan kehidupan orang lain. Sesungguhnya, apa yang telah berlaku itu semuanya telah ditakdirkan.

Wallahualam...



Sumber: http://ww1.utusan.com.my, 

Gambar: Google