Gambar Google

Kisah ini diceritakan sendiri oleh salah seorang anak kepada mangsa yang telah dirompak oleh cucunya sendiri.


Tuan Haji Amran (bukan nama sebenar) punya sepuluh orang anak. Dalam ramai anak pasti ada seorang yang menjadi kebanggaan dan kesayangan. Azril (bukan nama sebenar) anak kesayangan Tuan Haji Amran seorang pegawai berpangkat tinggi sudah pasti menjadi 'anak bapak'. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak. Tiga lelaki seorang perempuan. Kesemuanya telah remaja.

Kebelakangan ini, Tuan Haji Amran sering tidak sihat dan perlu berulang ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Kebiasaannya Azril lah yang akan menemani bapanya ke hospital. Kadangkala anak-anak bujang Azril, Zamri atau Zaini yang membawa datuk mereka menjalani rawatan jika Azril tidak berkesempatan.

Setiap kali pulang ke kampung di Perak, Tuan Haji Amran pasti akan memberikan wang belanja untuk anak kesayangannya walaupun anaknya itu berpendapatan sepuluh ribu ringgit setiap bulan. Pemberian wang saku itu memang telah diamalkan oleh Tuan Haji Amran sejak dahulu lagi agar anaknya itu tidak banyak masalah bila diminta pulang.

Azril walaupun mempunyai gaji sepuluh ribu sebulan, seringkali mengeluh tidak cukup wang. Perbelanjaannya terlalu besar kerana Azril juga memanjakan anak-anaknya dengan perbelanjaan yang tiada had.

Duit dalam bank dicuri



Gambar: Google

Tuan Haji Amran menyedari kad bank miliknya telah hilang. Beliau pergi ke bank untuk mengeluarkan wangnya. Didapati wangnya hanya tinggal tidak sampai tiga ribu ringgit dari ratusan ribu yang dia simpan.

Dicongak di fikirannya segala perbelanjaan perubatan yang telah dikeluarkan oleh anaknya Azril. "Takkan sampai habis kesemuanya" bisiknya dalam hati. Tuan Haji Amran tidak berpuas hati, lalu dikhabarkan berita sedih itu kepada anaknya Mariam. Kerana kasihankan bapanya, Mariam mengambil tindakan membawa bapanya membuat laporan dibank berkenaan dan meminta pihak pengurusan membuka rekod CCTV. 

Bukti jelas menunjukkan transaksi dilakukan cucu Tuan Haji Amran, Zaini mengeluarkan wang dari ATM. Antara transaksi  yang dapat dikesan, pemindahan wang ke syarikat jual beli motorkar di kedai kenderaan terpakai. Terdapat banyak lagi transaksi yang berlaku. Jumlah keseluruhan hampir dua ratus ribu yang telah dikeluarkan oleh cucunya. Baru beliau teringat, beliau pernah menyuruh cucunya mengeluarkan wang ketika membuat rawatan di hospital beberapa bulan yang lalu. Tidak disangka cucunya sanggup menyamun wang datuknya sendiri.

Setelah mendengar nasihat anak-anak yang lain, Tuan Haji Amran membuat laporan dibalai polis. Malangnya, tidak lama selepas laporan polis dibuat, Tuan Haji Amran telah menarik semula laporan terhadap cucunya. Tanpa diketahui, anaknya Azril telah mengugut Tuan Haji Amran untuk menarik balik laporan berkenaan jika tidak anaknya tidak akan pulang kekampung lagi selepas ini. Tindakan Azril menyebelahi anaknya kerana tidak mahu anaknya didakwa dan dipenjarakan.


Akhirnya, kes itu lenyap begitu sahaja. Zaini membeli sebuah kereta secara tunai. Manakala Zamri membeli sebuah motorsikal berkuasa tinggi. Untuk adik-adiknya dan ibu ayahnya, zaini memberlikan mereka telifon bimbit mahal. Zaini telah menipu ayah dan ibunya dengan mengatakan telah mendapat projek besar.

Sayang anak jangan sampai membinasakan akhlak

Jelas kisah benar diatas menunjukkan bertapa buruknya akhlak anak ini yang sanggup melakukan perkara keji kepada datuknya sendiri. Sanggup mencuri kad bank datuknya kemudian membeli harta. Membohongi orang tuanya mengatakan beliau bekerja dan mendapat keuntungan yang tinggi walhal ianya semua adalah hasil curi.  

Seorang bapa pula melindungi kesalahan anaknya yang terang lagi bersuluh. Datuk yang bimbang kehilangan kasih anak dan cucu terpaksa menerima melupakan yang berlaku. 

Didiklah anak-anak kita dengan ilmu agama yang mencukupi agar besarnya kelak menjadi anak yang berguna kepada kita dan agama. Sayang anak tangan-tangankan biladalan orang tua-tua dahulu ada kebenarannya. Kerana sayang kan anak lah kita sebagai ibu bapa harus tegas dan adakalanya perlu menggunakan rotan untuk mendidik mereka. 

Perkara yang paling kita sebagai ibu bapa takuti adalah, salah mendidik anak-anak hingga mencemarkan nama baik dan maruah keluarga. Bonda harap bersama-samalah kita memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak kita agar menjadi seorang yang berguna dimasa hadapan. Bonda berharap kisah ini menjadi iktibar kepada kita semua. Wallahualam....




Gambar Google


Sekian